Tindakan TMJ balas ciapan wartawan tersohor tarik perhatian

Tindakan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail membalas ciapan wartawan tersohor antarabangsa, Fabrizio Romano jelas mengundang reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan.

Berdasarkan kepada akaun di platform, X, Tunku Mahkota Ismail membalas ciapan Fabrizio yang menyiarkan kenyataan pengurus Manchester City, Pep Guardiola dengan emoji berjabat tangan.

Fabrizio sebelum itu menciap mengenai Guardiola yang mempersoalkan mengenai konsistensi yang ditunjukkan pasukannya dalam tempoh sedekad ini tidak dapat diulangi oleh mana-mana pasukan dalam apa-apa acara sukan sekalipun.

“Pasukan mana dalam dunia ini yang konsisten sepanjang tempoh 10 tahun ini? Mereka tidak wujud, tidak dalam NBA, tenis, golf ataupun apa-apa sukan.

“Dalam tempoh sedekad ini seperti mana yang kami lakukan, konsisten seperti mana kami tunjukkan, maafkan saya, anda tidak akan menemuinya,” kata Guardiola seperti mana ciapan Fabrizio.

Bagaimanapun, hanya Tunku Mahkota Ismail mengetahui maksud sebenar emoji berjabat tangan yang diberikan olehnya ke atas ciapan terbabit.

Sebagai rekod, JDT sememangnya satu pasukan yang luar biasa apabila hanya selangkah untuk mencipta satu lagi rekod baharu iaitu ‘dominasi total’ dalam kancah bola sepak negara.

Setakat ini, JDT sudah menambah lima trofi dalam kabinetnya dengan pasukan utama di bawah bimbingan Hector Bidoglio sudah pun memenangi dua trofi setakat ini – Piala Sumbangsih dan juga Piala FA.

Mereka juga memenangi Piala Presiden, Piala Belia serta memenangi Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada musim ini.

Tiga lagi trofi yang dijangka berada dalam genggaman mereka pada musim ini adalah Liga Super, Piala Malaysia dan juga Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Skuad utama JDT ketika ini sedang berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas gah berkelebihan 11 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Selangor FC selepas mengharungi 14 perlawanan.

sumber:- HM

Satu lagi skuad pembangunan mereka, JDTII juga mengikut jejak langkah ‘abang’ apabila berada di tangga teratas saingan Piala MFL dengan lima mata mengatasi Kelantan Darul Naim (KDN) di tangga kedua.