sukan

Petanda positif buat beregu campuran Malaysia

Pemain beregu campuran utama Malaysia, Toh Ee Wei menyifatkan lonjakan prestasi gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sebagai petunjuk positif buat skuad beregu campuran kebangsaan.

Ee Wei bersama gandingannya Chen Tang Jie yang mengisi ranking lapan dunia sebelum ini pernah menyatakan antara kekurangan mereka berbanding gandingan terbaik dunia terutama dari China adalah membabitkan rakan sepasukan yang berkualiti.

Justeru, kejayaan Pang Ron-Su Yin yang ketika ini menghuni ranking 23 dunia dan menamatkan saingan berstatus Super 750 BWF Masters China di Shenzhen yang sebagai naib juara, minggu lalu dilihat sebagai petanda cukup positif.

Pang Ron-Su Lin pada aksi di China kalah kepada pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dalam aksi tiga set, 23-21, 23-25,16-21 namun ia adalah pencapaian terbaik karier mereka setakat ini.

“Skuad beregu campuran negara sememangnya memerlukan lebih banyak pemain-pemain muda untuk bangkit bersama kami.

“Saya boleh katakan yang kami kini tidak lagi berseorangan dalam kategori ini. Kami akan mendapat teman sepelatih yang bagus,” kata Ee Wei yang bersama Tang Jie berjaya menjuarai Terbuka Korea dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Tang Jie berharap penampilan mereka di Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) yang dijadual pada 11 hingga 15 Disember ini mampu meningkatkan permainan dan keyakinan mereka.

sumber:- BH

“Layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF menjadi impian semua pemain badminton dan kami juga sudah bekerja keras sepanjang tahun untuk melayakkan diri,” kata Tang Jie.