Menjelang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) awal tahun depan, dikhabarkan suhu pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) makin ‘panas’ apabila difahamkan seorang wakil daripada ahli gabungan badan induk itu sedia merebut jawatan Presiden FAM.
Menurut sumber boleh dipercayai, individu terbabit yang berpangkalan di Lembah Klang akui bersedia mencabar Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dikaitkan bakal menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya itu.
“Jika benar beliau (Joehari) adalah calon ganti Hamidin, sepatutnya ia tidak berlaku kerana sepatutnya biarlah pilihan itu dibuat ahli gabungan ketika kongres nanti.
“Sepatutnya bertanding secara sihat dengan memberi peluang kepada sesiapa saja untuk bertanding khususnya jawatan Presiden.”Kalau begitu, kita akan cabar jawatan itu dan beri kepada ahli gabungan untuk memilih secara sihat,” katanya kepada Arena Metro.
Berdasarkan tinjauan, terdapat sekurang-kurangnya lapan ahli gabungan FAM yang berpangkalan di Lembah Klang dengan dua daripada babitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Manakala enam lagi adalah Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Persatuan Bolasepak Cina Malaysia, Majlis Sukan India Malaysia, Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan khabar angin yang bertiup kencang apabila Joehari dikaitkan untuk menggantikan Hamidin.
Menurut sumber, nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) pada Ahad lalu.
Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk penggal 2021-2025 bakal berakhir selewat-lewatnya awal tahun depan dengan satu pemilihan perlu diadakan untuk mencari barisan Exco baru.
Untuk rekod, Joehari adalah Naib Presiden FAM bagi penggal ini dengan beliau diberi tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Status FAM.
sumber:- HM
Terdahulu, nama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dikaitkan untuk menggantikan Hamidin namun Khairy menolak dengan mahu memberi tumpuan kepada perkara lain.