sukan

‘Satu panggilan telefon cukup”

Bekas Ketua Jurulatih Badminton Denmark, Kenneth Jonassen menyifatkan peluang untuk menjadi sebahagian daripada skuad badminton Malaysia sebagai pengalaman sekali dalam seumur hidup.

Selepas kejayaan di Eropah (membantu Viktor Axelsen muncul juara dunia dan Olimpik), Jonassen kini bersedia menyahut cabaran baharu di Asia, di mana sukan badminton dianggap sebagai satu daripada sukan paling popular.

“Badminton sangat penting di sini. Hanya dengan satu panggilan telefon, saya sudah mula membayangkan kemungkinan untuk berada di Malaysia,” kata Jonassen yang akan memulakan tugasnya selaku ketua jurulatih perseorangan pada 4 Januari ini dengan misi utama meraih emas Olimpik.

Ujar Jonassen, Malaysia memiliki pemain berbakat yang berpotensi besar untuk menyerlah di peringkat dunia.Beliau tertarik dengan pemain seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao, yang disifatkan sebagai pemain muda berbakat.

“Kali pertama saya melihat Tze Yong bermain dalam Piala Thomas, saya tahu dia memiliki potensi besar. Sebagai jurulatih, impian saya adalah membawa bakat seperti ini ke tahap maksimum. Perjalanan ini panjang, tetapi kita harus percaya,” tambahnya.

Jonassen turut menekankan pentingnya membina keyakinan pemain dan membantu mereka mencapai kematangan dalam karier.

“Kematangan setiap pemain berbeza, ada yang mencapainya pada usia awal 20-an, ada pula yang memerlukan lebih masa. Tugas saya adalah memaksimumkan potensi mereka,” katanya.

Jonassen menjelaskan bulan pertama beliau akan digunakan untuk menilai pemain dan memahami budaya badminton di Malaysia.

“Saya bukan jurulatih yang terus memberikan arahan. Saya perlu memahami budaya dan cara komunikasi di sini. Penting untuk saya bekerja dengan jujur dan mendengar pandangan pemain. Ini adalah proses pembelajaran buat saya juga,” katanya.

Jonassen menjelaskan bahawa persiapan awal menjelang kelayakan Olimpik 2028 adalah amat penting.

“Jika kita tidak bersedia apabila kelayakan bermula, ia akan menjadi lebih sukar. Jadi, kita perlu benar-benar fokus. Saya akan bekerja rapat dengan pemain untuk memastikan sasaran pingat emas menjadi realiti,” katanya.

Pelantikan Jonassen dilihat sebagai langkah strategik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengembalikan era kegemilangan badminton Malaysia.