sukan

JDT makin hampiri ‘dominasi total’

Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya satu pasukan yang luar biasa apabila hanya selangkah untuk mencipta satu lagi rekod baharu iaitu ‘dominasi total’ dalam kancah bola sepak negara.

Skuad Harimau Selatan yang memiliki pelbagai ‘cabang pasukan’ untuk bertanding jelas tidak menunjukkan sebarang belas kasihan kepada pasukan lain apabila membolot semua piala yang ditawarkan dalam saingan domestik.

Setakat ini, JDT sudah menambah lima trofi dalam kabinetnya dengan tiga lagi trofi dijangka melengkapkan musim bergaya pasukan itu yang terus membuktikan betapa mereka berada di kelas tersendiri dan sukar digapai ‘pencabar sekadar nama’.

Pasukan utama di bawah bimbingan Hector Bidoglio sudahpun memenangi dua trofi setakat ini iaitu Piala Sumbangsih dan juga Piala FA – kedua-duanya dimenangi selepas mengecewakan pencabar terdekat mereka, Selangor FC (SFC).

Masa depan JDT juga tampak cerah apabila mereka memiliki generasi pelapis yang mantap selepas dua pertandingan untuk ‘ubi muda’ turut sama dimenangi pasukan mereka iaitu JDTIII dan JDTIV.

JDTIII memenangi Piala Presiden selepas mengecewakan pasukan B-20 Selangor 2-1 secara agregat dan JDTIV meneruskan kecemerlangan apabila merangkul Piala Belia menerusi kemenangan 7-5 secara agregat ke atas TFCIV.

Tidak hanya bola sepak, mereka turut menguasai saingan futsal selepas JDT memenangi Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada musim ini.

Tiga lagi trofi yang dijangka berada dalam genggaman mereka pada musim ini adalah Liga Super, Piala Malaysia dan juga Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Skuad utama JDT ketika ini sedang berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas gah berkelebihan 11 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, SFC selepas 14 perlawanan.

Selain itu, mereka juga boleh dianggap hampir sebelah kaki untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia apabila memenangi aksi pertama pusingan 16 dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan Liga A1 Semi Pro, KL Rovers.

Satu lagi skuad pembangunan mereka, JDTII juga mengikut jejak langkah ‘abang’ apabila berada di tangga teratas saingan Piala MFL dengan lima mata mengatasi Kelantan Darul Naim (KDN) di tangga kedua.

sumber:- BH

Dengan perubahan format bagi musim ini, Piala MFL akan menjadi milik JDTII jika mereka terus mendahului saingan sehingga hujung musim sekali gus menebus kekecewaan muncul naib juara pada musim lalu.