sukan

JDT berdepan tugas sukar — Bidoglio

Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tugas mencabar apabila berdepan kelab dari China, Shandong Taishan FC pada aksi Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Olimpik Jinan di China, malam esok.

Ia diakui pengendali JDT, Hector Bidoglio yang menyifatkan kelab Liga Super China (CSL) itu bukan calang-calang pasukan tatkala memiliki barisan pemain yang berkualiti malah empat pemainnya beraksi untuk skuad kebangsaan China dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, baru-baru ini.

Tambah Bidoglio, pemain JDT juga bakal berdepan cuaca sejuk sekitar 8 darjah selsius dan kerana itu mereka hadir ke China lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum beraksi dalam perlawanan sebenar.

“Kami akan berdepan kelab yang hebat dari China ketika dalam keadaan cuaca yang sejuk dan ia tugas mencabar buat kami tatkala beraksi di tempat lawan namun persiapan yang rapi bagi menghadapi saingan ACLE sudah dibuat apabila kami datang awal ke sini untuk menjalani latihan bagi menyesuaikan keadaan cuaca.

“Prestasi kami di saingan ACLE tampak berada di tahap memuaskan dan kami harus terus meningkatkan lagi prestasi dan mengekalkan momentum permainan berkualiti selain kekal dengan corak menyerang pada perlawanan itu nanti.

“Sememangnya ia cukup penting bagi kami bermain di tempat lawan dan fokus utama pasti mahu melakar kemenangan apabila berdepan Shandong Taishan untuk kekal di kelompok lapan pasukan terbaik dalam Kumpulan Zon Timur,” katanya.

Rekod pertemuan menentang Shandong Taishan yang dahulunya dikenali sebagai Shandong Luneng memihak kepada kepada kelab dari China itu selepas JDT ketika itu dibimbing Benjamin Mora tewas 1-2 pada aksi 9 April 2019 dan tewas 0-1 pada aksi 24 April 2019.

Bidoglio juga lega apabila kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan dan tiada pemain yang dikenakan penggantungan namun mengingatkan Murilo Hendrique agar lebih berhati-hati dalam perlawanan itu sekiranya diturunkan beraksi.

“Hanya Murilo sahaja yang sudah mengumpul dua kad kuning dan dia perlu mengelak daripada dihukum lagi jika saya menyenaraikannya dalam kesebelasan utama malah kesemua pemain berada di tahap kecergasan terbaik,” kata Bidoglio.

Apapun pengendali kelahiran Argentina itu mengutamakan persiapan pasukannya berbanding memikirkan kekuatan skuad kendalian Choi Kang-hee dan menuntut barisan pemain JDT yang bakal diturunkan beraksi dengan corak permainan berintensiti tinggi dan dinamik.

“Mungkin perlawanan terbuka dan pandangan saya jika kami mahu menang di tempat lawan, kita harus berhempas pulas untuk capai sasaran tapi jika datang untuk keputusan seri ada kemungkinan keputusan yang tidak diinginkan. Kita akan fokus untuk menang.

sumber:- BH

“Kami akan tampil lebih baik baik berbanding aksi menentang Ulsan HD FC, baru-baru ini, walaupun kami sedar aksi di tempat lawan pasti berbeza tapi kami perlu tampil lebih 100 peratus malah pemain juga tampak bermotivasi untuk berdepan kelab dari China itu,” kata Bidoglio.