Pemain beregu campuran negaran, Hoo Pang Ron menyifatkan mara di final Masters China itu adalah pencapaian yang paling besar buat kariernya.
Jelasnya, meskipun mereka hadir selaku pemain bukan pilihan tetapi semangat juang tinggi membolehkan dia dan Su Yin menampilkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan sehingga berjaya melakukan kejutan demi kejutan ke atas lawan yang ranking lebih tinggi.
“Bagi saya, ia memang sukar dipercayai. Saya rasa ini adalah final pertama saya selepas bertahun-tahun mencuba dengan pasangan lain sebelum ini dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini.
“Sudah tentu, kami bukan beregu pilihan dan tiada tekanan tinggi sebaliknya kami hanya ingin melakukan yang terbaik dan menunjukkan kepada penonton apa yang kami ada.
“Dalam aksi separuh akhir tadi, ada beberapa perkara yang kami mengalami sedikit kesukaran terutama ketika di set kedua dan ketiga tetapi saya dan Su Yin saling menyokong dan memberi keyakinan kepada satu sama lain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selain itu, Pang Ron juga mengakui lawan mereka esok yang juga pasangan kedua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Untuk rekod, mereka pernah bertemu sekali pada Terbuka Hong Kong yang menyaksikan kemenangan straight set kepada pasangan dari China itu.
Terdahulu, beregu campuran muda negara, Pang Ron- Su Yin terus mencipta sensasi apabila kali ini mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet untuk mara ke final Masters China.
Namun ia bukan kemenangan mudah apabila pasangan negara itu terpaksa berhempas pulas dalam pertarungan tiga set 21-14, 17-21, 21-19 dalam masa 65 minit.
sumber:- HM
Ini adalah final pertama Pang Ron-Su Yin di pentas Super 750 dan berpeluang untuk mendapatkan kejuaraan sulung dalam karier mereka sejak digandingkan.