Kehadiran pemain bertaraf naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya bukanlah satu isu besar yang harus dipersoalkan.
Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente melihat kehadiran tonggak naturalisasi ini sebagai perkara positif yang mampu meningkatkan mutu dan kualiti pasukan.
Malah, katanya, banyak negara termasuk kuasa bola sepak dunia turut menggunakan kaedah sama untuk menguatkan pasukan kebangsaan masing-masing dengan mendapatkan khidmat pemain naturalisasi.
“Pada masa kini setiap pasukan kebangsaan mempunyai pemain daripada keturunan atau asal-usul berbeza. Ia menjadi perkara biasa.
“Dalam kes di Malaysia ini, peraturan menyatakan selepas lima tahun tinggal di sana (Malaysia), anda boleh menjadi rakyat Malaysia.
“Pemain ini sudah lama tinggal di Malaysia dan mereka mempunyai hak untuk mewakili negara. Inilah realiti dalam bola sepak hari ini.
“Individu berpindah, menukar negara dan ini akan menjadi semakin biasa dalam hampir semua pasukan kebangsaan,” kata jurulatih Sepanyol berusia 41 tahun itu.
Ketika ini, pasukan negara sudah menaturalisasikan seramai lapan pemain iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi, Lee Tuck, Paulo Josue, Sergio Aguiero, Endrick dos Santos dan Romel Morales.
Daripada jumlah itu, hanya empat tonggak yang kerap dipanggil menyarung jersi negara membabitkan Josue, Aguiero, Endrick dan Morales.
sumber:- HM
Sementara Tuck dan De Paula pula sudah bersara daripada dunia bola sepak, manakala Sumareh dan Liridon mengalami penurunan prestasi.