Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong, percaya kemenangan mengejut 2-0 pasukannya ke atas bekas juara Asia, Arab Saudi, di Jakarta, semalam, memberikan peluang besar untuk layak ke Piala Dunia 2026.
Marselino Ferdinan menjaringkan dua gol menentang pasukan bimbingan Herve Renard itu, memastikan kemenangan pertama Indonesia dalam pusingan ketiga kelayakan Asia, sekali gus meningkatkan harapan mereka untuk tampil di pentas akhir di Amerika Utara.
“Barisan pemain mendapat keyakinan besar daripada kemenangan ini,” kata Shin, bekas jurulatih Korea Selatan.
“Sebelum memulakan kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, saya menyasarkan untuk menamatkan saingan di tempat ketiga atau keempat dalam kumpulan.
“Kami mempunyai dua lagi perlawanan di tempat sendiri, dan saya percaya kami boleh mencapai sasaran itu. Berdasarkan perlawanan hari ini (semalam), pemain-pemain lebih bermotivasi untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya lagi.
Indonesia berusaha untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1938, ketika negara itu – yang dikenali sebagai Hindia Belanda – melakukan satu-satunya penampilan mereka di pentas akhir.
Kemenangan kali ini melonjakkan Indonesia dari kedudukan terbawah Kumpulan C ke tempat ketiga selepas enam perlawanan.
Jepun mendahului carta dengan 16 mata, sembilan mata di hadapan Australia, sementara Indonesia, Arab Saudi, Bahrain, dan China masing-masing ketinggalan satu mata di belakang.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan mara ke pusingan kelayakan tambahan untuk merebut dua lagi slot Asia daripada lapan keseluruhan.
Kekalahan di Jakarta menambah tekanan kepada Arab Saudi dalam perlawanan kedua mereka sejak Renard kembali menggantikan Roberto Mancini bulan lalu.
Mancini meninggalkan pasukan selepas keputusan seri 0-0 menentang Bahrain pada Oktober lalu, tetapi prestasi pasukan terus merosot, gagal menjaringkan gol menentang Australia pada Khamis lalu sebelum kekalahan kepada Indonesia.
sumber:- HM
“Hakikatnya kami tidak dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir kami. Indonesia bermain dengan sangat baik dan menunjukkan kualiti mereka,” kata Renard.