sukan

Naturalisasi pun suka kalau Arif Aiman ada

“Kalau saya sebagai seorang jurulatih, saya memang perlukan pemain macam Arif Aiman Hanapi,” kata bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar.

Azlan yang juga bekas jurulatih beberapa pasukan liga tempatan mengakui kudrat pemain sayap sensasi itu sememangnya amat diperlukan untuk memperkasa skuad Harimau Malaya dan ketiadaannya dalam skuad dilihat sedikit memberikan kepincangan di jentera serangan ketika menentang India malam tadi.

Jelasnya, kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam pasukan akan menyuntik semangat buat rakan sepasukannya dan skuad negara bagaikan hilang ’25 peratus kuasa’ sekiranya dia tidak dapat diturunkan.

“Dia seorang pemain yang bagus dan kehadirannya akan menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukan apabila melihat aksi positif ditunjukkan. Apabila itu berlaku, maka persefahaman dan kesungguhan akan lebih bertambah baik.

“Kita anggap Arif Aiman ini sebagai salah seorang anggota penting di mana anggota lain akan memberi sokongan kepadanya. Kalau Arif Aiman tiada, kita ibarat beraksi dengan 75 peratus kekuatan sahaja.

“Pemain naturalisasi pun suka kalau Arif Aiman ada dan memang nyata, ketika ini dia pemain yang paling berkaliber dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, Arif Aiman tidak dapat beraksi pada pertembungan menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad selepas pemain itu bersama Matthew Davies dan Feroz Baharudin dibenarkan pulang ke tanah air susulan permohonan daripada JDT.

Ketiadaan pemain berusia 22 tahun itu tampak sedikit sebanyak mengganggu rentak skuad kebangsaan untuk perlawanan itu yang berakhir dengan keputusan 1-1.

Dalam perkembangan sama, Azlan juga melihat Arif Aiman sentiasa memberikan aksi yang terbaik setiap kali bersama skuad kebangsaan.

“Tidak kiralah perlawanan itu diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun tidak, apa yang penting adalah pemain menunjukkan kesungguhan setiap kali menyarung jersi negara.

sumber:- BH

“Saya dapat lihat Arif Aiman adalah pemain sebegitu dan walau apa jua jersi yang dipakai olehnya, kesungguhan itu tetap ada,” katanya.