Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) pulang ke tanah air dianggap membuka peluang kepada pemain simpanan dan pemain muda dalam skuad kebangsaan beraksi.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente hanya membawa 23 pemain ke Hyderabad, India bagi menentang pasukan India, esok selepas Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin dibenarkan kembali ke pangkuan JDT.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan bahawa inilah masanya untuk pemain yang memanaskan bangku simpanan untuk menunjukkan keupayaan sebenar mereka, sekali gus memikat hati Vicente.
Beliau menjelaskan aksi berdepan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad sebagai medan untuk semua pemain mengintai tempat dalam skuad negara bagi kejohanan Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung bulan depan.
“Saya melihat ia membuka peluang kepada pemain simpanan dan pemain muda menunjukkan bakat mereka, inilah masanya. Pengalaman saya ketika bermain dulu, sekali jurulatih bagi saya peluang, saya tidak akan lepaskan.
“Saya akan bermain mati-matian sampaikan pemain utama terpaksa menjadi pemain simpanan selepas itu. Kita nak tunjuk apa yang kita ada, apa yang kita boleh buat.
“Kalau anda setakat nak jadi pemain yang hanya duduk di bangku simpanan sahaja, maknanya ada tiada kesungguhan untuk menunjukkan kemampuan lebih baik daripada pemain utama.
“Ini masa dan peluang pemain simpanan dan pemain muda menunjukkan mereka lebih baik daripada Arif Aiman, lebih baik daripada Feroz, tunjuklah, kalau tak tunjuk bagaimana anda nak kekal dalam pasukan kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan.
Semalam, FAM memaklumkan sudah melepaskan Arif Aiman, Feroz dan Davies pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam kenyataan menjelaskan bahawa tindakan kelab memohon pelepasan awal tiga pemain itu disebabkan perancangan perjalanan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Shandong Taishan, 26 November ini.
Beliau memaklumkan skuad Harimau Selatan dijadualkan berlepas ke China, Khamis ini, iaitu sehari selepas skuad Harimau Malaya pulang dari aksi menentang India.
sumber:- BH
Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bagaimanapun masih kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE.