sukan

Tindakan FAM, JDT cetus persepsi negatif

Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sedang bersama skuad kebangsaan dianggap boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan peminat.

Tiga pemain terbabit iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada JDT.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan situasi atau persepsi kurang baik mungkin boleh dielakkan jika perkara itu sudah dilakukan lebih awal.

Malah, beliau berkata apa yang berlaku itu juga dibimbangi boleh menjadi ikutan kepada pasukan lain pada masa akan datang.

“Inilah yang orang kata menimbulkan banyak persepsi dan dilema, untuk pemain kita faham mereka hanya mengikut arahan. Tapi ini semua sebenarnya terpulang kepada FAM.

“Namun, kita tak tahu situasi di peringkat kelab dan FAM. Aksi menentang India hanya aksi persahabatan, dalam konteks ini saya rasa kita nampak juga bahawa ada keperluan yang lebih penting di peringkat kelab.

“Cuma seeloknya mungkin kalau di peringkat awal kita sudah tahu keadaan ini akan berlaku. Apabila tiga pemain ini tidak bersama ke India, nampak ia satu tindakan saat akhir dan ia tak bagus dari segi persepsi peminat,” katanya.

Terdahulu, FAM mengumumkan hanya 23 pemain yang akan dibawa untuk menentang India dalam aksi persahabatan di Hyderabad, Isnin ini apabila Harimau Malaya melepaskan Davies, Feroz dan Arif susulan permohonan JDT.

Ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC, Rabu ini.

Selain itu, Pekan menjelaskan situasi yang berlaku itu seakan memberi gambaran pasukan akan di bentuk pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk kejohanan Piala ASEAN bulan depan yang berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita tengok aksi persahabatan ini dalam kalendar FIFA dan dalam kalendar FIFA pun kita nampak juga berlaku perkara ini apatah lagi kalau di luar kalendar FIFA. Namun, di peringkat Piala ASEAN kita sudah tahu gambaran.

sumber:- BH

“Sebab umum sudah mengetahui bahawa apabila Piala ASEAN berlangsung nanti ada pemain yang kemungkinan besar tidak akan dilepaskan oleh kelab. Jadi dekat sini kita serah kepada kebijaksanaan Vicente,” katanya.