sukan

Lesen kejurulatihan terbatal bersekongkol atur perlawanan

Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mengingatkan setiap jurulatih yang mempunyai lesen sah, jika terbabit dalam salah laku serius termasuk mengatur perlawanan, akan dikenakan tindakan tegas sehingga lesen mereka boleh terbatal secara langsung.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan setiap daripada mereka sepatutnya lebih tahu akibatnya kerana ia sudah termaktub di dalam kontrak yang sah di sisi undang-undang.

“Kalau ada laporan dan menyatakan pihak tertentu (jurulatih) terlibat serta pihak atasan (kelab) mengesahkan terutama pihak polis, SPRM ( Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ), itu secara automatik lesen mereka akan terbatal.

“Kerana di dalam kontrak setiap jurulatih profesional itu sendiri menyatakan perkara itu dan ada klausa itu, sesiapa sahaja yang terlibat bukan sahaja mengatur perlawanan tetapi kes-kes jenayah dan terbukti bersalah, akan ada tindakan terus,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa di sini hari ini.

Katanya, setiap jurulatih perlu ada tanggungjawab dengan lesen diperolehi dan jangan sesekali melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya termasuk meminjamkan lesen mereka kepada pihak lain.

“Kita sudah memaklumkan dari awal, sesiapa yang meminjamkan lesen sebagai contoh, kalau didapati bersalah, kita akan menggantung mereka daripada dapat lesen keahlian dan tidak akan dibenarkan melatih mana-mana kelab remaja mahupun pasukan senior,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan secara eksklusif melaporkan sendikit bookie mula meresap di dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan memberi tawaran yang menarik sehingga ada pemain terpaksa menerima kerana tidak menerima gaji terlalu lama.

sumber:- HM

Malah, difahamkan ia bukan sahaja melibatkan pemain tetapi terdapat pihak pengurusan terjebak sekali dalam mengatur perlawanan ini. Modul operansi bookie ini, mereka menyasarkan pasukan yang mempunyai tunggakan gaji berbulan-bulan lamanya.