“Saya datang untuk bertarung. Saya tidak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa, hanya kepada diri sendiri… Saya gembira dengan apa yang saya mampu lakukan,” kata Mike Tyson selepas tewas kepada Jake Paul dalam pertarungan kontroversi yang berlangsung di Stadium AT&T, Arlington, Texas.
Legenda tinju berusia 58 tahun itu ditewaskan oleh YouTuber yang menjadi petinju profesional, Jake Paul, melalui keputusan sebulat suara selepas lapan pusingan.
Tiga juri memberikan kemenangan kepada Paul dengan kiraan mata 80-72, 79-73, dan 79-73.
Paul, 27, memanfaatkan kelebihan kelajuan dan pergerakannya untuk mendominasi Tyson, yang hanya mampu mendaratkan 18 daripada 97 tumbukan berbanding 78 daripada 278 tumbukan dilakukan Paul.
Walaupun Paul hampir menumbangkan Tyson pada pusingan ketiga, dia gagal memberikan knockout (KO) seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Saya rasa sangat terhormat dapat berlawan dengan Mike Tyson. Dia adalah GOAT (Greatest of All Time), seorang legenda,” kata Paul, yang sempat tunduk hormat kepada Tyson sebelum loceng akhir dibunyikan.
Tyson, yang bertarung dengan pendakap lutut di kaki kanannya, enggan menjadikannya alasan kekalahan.
“Saya tak boleh jadikan itu alasan. Kalau saya rasa begitu, saya takkan berada di sini,” ujarnya.
Acara yang turut disaksikan lebih 70,000 penonton secara langsung membuktikan Paul terus mencipta nama dalam arena tinju, mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang baharu yang berjaya memanfaatkan populariti dalam talian untuk mencetuskan fenomena global.
sumber:- BH
Tyson pula tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertarung lagi.”Saya tak pasti ini pertarungan terakhir saya… Ia bergantung kepada situasi,” tambahnya. – AFP