sukan

Kenneth Jonassen ‘berteka-teki’

Ketua jurulatih badminton Denmark, Kenneth Jonassen ‘berteka-teki’ berhubung berita yang mengaitkan dirinya menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan skuad negara.

Bercakap kepada BH Sukan, jurulatih berusia 50 tahun itu tidak mengiyakan atau menafikan mengenai perkara berkenaan.

Sebaliknya, Jonassen berkata dia hanya akan bercakap mengenai masa depannya selepas tamat dua tugasan terakhirnya bersama skuad badminton Denmark di Masters Kumamoto di Jepun yang sedang berlangsung ketika ini dan Masters China yang bermula Selasa ini hingga 24 November.

Kontrak Jonassen bersama skuad badminton Denmark akan berakhir pada hujung bulan depan dengan negara itu sudah pun mengumumkan Thomas Stavnsgaard sebagai ketua jurulatih yang baharu menggantikan Jonassen bermula 1 Januari depan.

“Saya ketika ini berada di Jepun untuk Masters Kumamoto bersama skuad badminton Denmark dan minggu depan kami akan berada di China untuk Master China.

“Memandangkan kami sedang menghadapi kejohanan, saya tidak akan memberi komen mengenai sebarang hal peribadi kerana saya percaya ia akan menjadi sangat tidak profesional.

“Perancangan masa depan saya akan diselesaikan dalam bulan depan atau selepas itu. Saya harap anda faham dan menghormati keputusan saya,” kata Jonassen kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memaklumkan yang badan induk itu akan mengumumkan pelantikan ketua jurulatih perseorangan yang baharu pada 25 November ini.

Menariknya, tarikh itu adalah sehari selepas tamat saingan Masters China yang menjadi tugasan terakhir Jonassen bersama skuad Denmark.

BH Sukan difahamkan, Jonassen menjadi pilihan BAM untuk mengemudi kejurulatihan perseorangan negara biarpun turut menimbangkan empat lagi calon lain termasuk jurulatih dari Indonesia, Mulyo Handoyo dan Fernando Rivas dari Sepanyol.

Jonassen memiliki reputasi besar selaku jurulatih apabila menjadi watak penting terhadap kejayaan yang dilakar pemain nombor satu Denmark, Viktor Axelsen.

Di bawah bimbingannya, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021 selain turut membantu pemain itu memenangi gelaran dunia pada 2017 di di Glasgow, Scotland.

Jonassen akan diberikan kontrak selama empat tahun sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selaku ketua jurulatih perseorangan, Jonassen akan dibantu dua jurulatih K Yogendran dan Alvin Chew dalam perseorangan lelaki manakala Jeffer Rosobin dan Misbun Ramdan Misbun akan membantu dalam perseorangan wanita.

Berdasarkan senarai pemain bagi musim 2025 yang diumumkan BAM sebelum ini, skuad kebangsaan kini hanya dibarisi empat pemain perseorangan lelaki iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe dengan dua lagi pemain akan diserapkan daripada skuad remaja.

sumber:- BH

Pemain perseorangan wanita juga terdiri daripada empat pemain iaitu K Letshanaa, Wong Ling Ching, Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Azmi.