Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran memuji aksi ditampilkan anak buahnya, Leong Jun Hao selepas berjaya mengesahkan tiket ke separuh akhir Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.
Pemain ranking ke-31 dunia itu meneruskan ‘kisah dongengnya’ apabila mengejutkan wakil tuan rumah yang juga pemain nombor empat dunia, Kodai Naraoka 21-17, 9-21, 21-16 pada aksi suku akhir Gimnasium Kumamoto Prefectural.
Yogendran, berkata kemenangan ke atas Naraoka meningkatkan lagi tahap keyakinan Jun Hao menjelang pertemuan menentang jaguh Indonesia, Jonatan Christie bagi perebutan tiket ke final, esok.
“Jun Hao bermain dengan cukup baik, dia keluarkan prestasi terbaiknya. Bukan mudah untuk menewaskan Naraoka di Jepun.”Dia bertungkus-lumus dalam setiap mata. Saya harap kemenangan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinannya, menjadi lebih matang dan dapat kekal konsisten.
“Esok adalah hari yang baharu, Jonatan adalah pemain yang berpengalaman dan pemain yang lebih baik.”Saya percaya Jun Hao akan sekali lagi berikan persembahan terbaiknya dan kita harap dia boleh mencipta keputusan terbaik,” kata Yogendran kepada BH Sukan.
Berdasarkan rekod pertemuan, Jun Hao dan Jonatan ketika ini terikat 1-1.
Jun Hao menang ke atas lawan itu ketika Terbuka Indonesia Mei lalu sebelum tewas di Terbuka Denmark, bulan lalu.
sumber:- BH
Sebelum mengatasi Naraoka, bekas juara remaja Asia itu turut mencipta kejutan dalam laluannya ke suku akhir Masters Kumamoto apabila menumbangkan semifinalis Olimpik Paris 2024 dari India, Lakshya Sen di pusingan pertama dan pemain ranking ke-11 dunia dari Jepun, Hoki Watanabe di pusingan kedua, semalam.