sukan

Soon Huat-Shevon lunas dendam untuk Ke Separuh Akhir

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito apabila menewaskan lawan itu untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu hanya memerlukan 35 minit untuk melakar kemenangan ke atas Modorikawa-Saito 21-16, 21-13 pada aksi suku akhir di Gimnasium Kumamoto Prefectural.

Kemenangan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri merekodkan kemenangan pertama mereka ke atas lawan berkenaan selepas tewas dalam semua empat pertemuan sebelum ini.

Soon Huat-Shevon kini mengintai peluang untuk memburu gelaran ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas menjuarai Terbuka Switzerland pada Mac dan Masters Malaysia, Mei lalu.Mereka juga muncul naib juara Terbuka China, September lalu.

Soon Huat-Shevon akan bertemu gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

sumber:- BH

Terdahulu, Dechapol-Supissara mara ke kelompok empat terbaik selepas mengatasi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin. Pada aksi itu, gandingan Thailand berkenaan melakar kemenangan 21-17, 21-16 dalam tempoh 33 minit.