sukan

Kelayakan Piala Dunia : Keputusan aksi Jepun berdepan Indonesia

Kuasa besar bola sepak Asia, Jepun, membelasah Indonesia 4-0 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Sang Garuda pada awalnya menonjolkan permainan bertenaga apabila berhasil melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan pelawat yang dikawal rapi oleh Zion Suzuki.

Skuad kendalian Shin Tae-yong hampir menggugat kredibiliti Jepun, namun sentuhan penyudah terakhir gagal menyempurnakan peluang tersebut di halaman sendiri.

Tampanan Justin Hubner ke gawang sendiri memberi kelebihan buat skuad Matahari Terbit itu pada minit ke-35 sebelum bekas pemain Liverpool, Takumi Minamino, memanfaatkan lorongan Kaoru Mitoma yang menggandakan kedudukan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Kesilapan penjaga gol berpengalaman, Martin Paes, jelas melenyapkan sorakan tuan rumah tatkala sepakannya tepat ke Hidemasa Morita yang kemudiannya mudah memberikan gol ketiga buat skuad bimbingan Hajime Moriyasu.

Yukinari Sugawara melengkapkan malam gemilang Jepun apabila sepakan derasnya menewaskan Martin Paes untuk kemenangan bersih 4-0.

sumber:- stadium astro

Aksi Kumpulan C menyaksikan Jepun mendahului selesa di tempat pertama sambil Indonesia menghuni di tangga terakhir susulan tiada sebarang kemenangan berjaya diraih setakat ini.