Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar kertas pertuduhan membabitkan kes pergaduhan antara tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak, Tommy Mawat Bada kepada pasukan masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sambil menjelaskan pihaknya menghantar kertas pertuduhan itu kepada JDT dan Perak, Selasa lalu.
Difahamkan kedua-dua pasukan perlu memberi penjelasan mengenai insiden terbabit sebelum jawapan berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, pergaduhan antara Arif Aiman dan Tommy ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu mendapat perhatian daripada peminat bola sepak tanah air.
Malah, peminat mengkritik mutu pengadilan dengan menganggap pengadil, Razlan Joffri Ali sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman apabila bintang Harimau Selatan itu dilihat menumbuk Tommy.
Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dalam laporan sebelum ini berpendapat pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada perlawanan itu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan badan induk itu memandang serius insiden terbabit dan memaklumkan kedua-dua pemain berkenaan tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
sumber:- BH
“Memang kedua-dua pemain sudah dilayangkan kad kuning sejurus insiden itu, tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” katanya.