Perseorangan negara, Leong Jun Hao, mempamerkan aksi cemerlang ketika menyingkirkan wakil tuan rumah, Koki Watanabe, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Jun Hao, yang menghuni ranking ke-31 dunia, berada 20 anak tangga di belakang ranking Watanabe tetapi dia tenang merancanakan permainannya biarpun ketinggalan pada awal set pertama.
Selepas kedudukan terikat 9-9, pemain berusia 25 tahun itu memperoleh 11 mata berturut-turut untuk mendahului 20-9 sebelum menamatkan set pembukaan itu dengan kemenangan selesa 21-10.
Jun Hao tidak membenarkan Watanabe lama mendahului pada awal set kedua untuk saling berkejaran mata dengan lawan itu tetapi menuju ke penghujung aksi, terdapat sedikit kelonggaran dalam prestasinya, sekali gus membenarkan Watanabe merampas set berkenaan dengan kemenangan 21-16.
Pemain negara itu kemudian lebih tenang menguasai set penentuan dengan jauh meninggalkan Watanabe sebelum mengesahkan tempat dalam suku akhir dengan kemenangan 21-13 selepas secara keseluruhan bertarung selama 69 minit.
sumber:- stadium astro
Dia seterusnya akan menantikan pemenang di antara wakil Perancis, Toma Junior Popov, dan seorang lagi jaguh tuan rumah, Kodai Naraoka, bagi penentuan ke separuh akhir esok.