sukan

Skuad muda negara cipta sensasi berdepan China

Skuad muda negara, AMD Future membuka saingan kategori Bawah 14 tahun (B-14) Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 dengan langkah positif selepas mengikat pasukan dari China, Evergrande Football School 2-2.

Meskipun berdepan dengan pasukan lawan yang memiliki kelebihan fizikal, situasi itu jelas tidak menggentarkan semangat anak buah Azni Ariffin yang bertahan dengan penuh disipilin sehingga wisel penamat dibunyikan.

Azni menegaskan, pasukan itu sudah diberikan penerangan dan motivasi untuk memastikan mereka dapat meraih keputusan memberangsangkan pada aksi pembukaan.

“Saya sudah maklumkan bahawa pasukan akan berdepan dengan lawan yang memiliki kelebihan fizikal dan membuat analisis mengenai pasukan lawan.

“Motivasi yang diberikan agar pemain berani nyata memberikan impak kerana kita lihat pasukan berjaya mengimbangi kekuatan pasukan lawan malah memberikan tekanan,” katanya.

Bagaimanapun, Azni mengakui masih banyak lagi perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang dan barisan pemain mengetahui situasi itu.

“Teknikal dan kawalan bola serta pertahanan antara perkara penting yang akan dipertingkatkan pada perlawanan akan datang.

“Saya percaya pemain mampu melakukan yang lebih baik untuk meraih keputusan positif,” katanya.

Pada aksi di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu, AMD Future memperolehi dua gol menerusi jaringan Haziq Zamin pada minit ke-22 dan Qayyum Syazwan (m-59).

Gol pelawat pula dijaringkan pemain gantian Tang Xucan (m-34) dan Zheng Dingchang pada minit ke 58.

Sebagai rekod, Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 disertai 24 pasukan daripada sembilan negara bermula 13 hingga 19 November ini.

sumber:- BH

Dikelolakan oleh MSN menerusi Sekretariat Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, ini adalah edisi kelapan penganjuran bermula pada tahun 2014 dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu B-12, B-13 dan B-14.