Peluang Bergson cerah

Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berpeluang untuk mencipta rekod baharu penjaring terbanyak Liga Super bagi satu musim.

Sudah meledak 19 gol selepas 14 perlawanan musim ini, penyerang berusia 33 tahun itu memerlukan sekurang-kurangnya 11 jaringan lagi untuk memecahkan rekod miliknya sendiri yang dilakukan dua tahun lalu.

Bergson muncul penjaring terbanyak pada 2022 apabila meledak 29 gol, sekali gus melakar rekod baharu sebagai pemain yang meledak jaringan terbanyak bagi satu musim dalam Liga Super.

Pemain kelahiran Brazil itu memadam rekod penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun yang meledak 26 gol pada musim 2021.Kini, dengan saingan musim 2024-25 berbaki 10 perlawanan lagi, Bergson dilihat berada dalam landasan terbaik untuk sekali lagi mencipta rekod baharu dan bergelar penjaring terbanyak Liga Super buat kali kedua.

Ia berdasarkan ketajaman penyudah yang dimiliki Bergson selain prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad Harimau Selatan.Bergson sudah empat kali melakar hatrik dalam saingan Liga Super musim ini termasuk berdepan Terengganu, Kedah Darul Aman, Kelantan Darul Naim dan yang terbaharu menentang Perak, Ahad lalu.

Dia yang menyertai JDT sejak 2021 menjelaskan bahawa kerja keras semua pihak termasuk Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab, barisan jurulatih dan rakan sepasukan menjadi kunci dia berjaya mengekalkan momentum meledak jaringan.

“Ia detik yang bagus untuk kami dan pasukan. Saya amat gembira dapat melakar hatrik sekali lagi (berdepan Perak) dalam kejohanan ini dam kami bekerja keras setiap minggu.

“Saya sentiasa menekan diri saya untuk memberikan yang terbaik kepada rakan sepasukan. Saya amat menghargai sokongan daripada bos, jurulatih dan rakan sepasukan yang mereka berikan kepada saya,” katanya ketika ditemubual Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

sumber:- BH

Bergson ketika ini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan mengumpul 19 gol, sembilan jaringan mengatasi pencabar terdekat dari Kuala Lumpur City, Paulo Josue yang meledak 10 gol.