sukan

Kehadiran Tim Cahill cetus impak Positif

Pembabitan Ketua Eksekutif Sukan Akademi Aspire, Tim Cahill yang dikhabarkan menyertai Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sudah pasti memberikan satu perkembangan positif dalam usaha mengubah landskap bola sepak negara ke tahap lebih baik.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus beranggapan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki bekas pemain Everton dan Australia itu perlu ‘diperah’ bagi mendapatkan seberapa banyak input yang boleh bagi menaikkan mutu bola sepak negara.

Jelasnya yang juga bekas Pengarah Teknikal PDRM FC, bola sepak negara memiliki banyak ruang untuk berkembang namun perkembangannya boleh menjadi lebih pesat jika diletakkan di tangan individu yang tepat.

“Kalau kehadirannya memberikan sesuatu yang positif dan tidak membebankan sumber kewangan yang ada, tidak salah untuk kita dapatkan bagi menambah baik bola sepak kita, contohnya untuk jangka masa pendek dalam tiga ke lima tahun dan jangka masa panjang 10 tahun ke atas.

“Dengan pengalaman yang ada padanya, kita kena memberi sokongan kerana kita tidak tahu berapa lama yang masa akan diambil untuk beliau mengimplementasikan kaedahnya khususnya dalam meningkatakn ekosistem bola sepak yang sudah ada.

“Daripada segi ‘performance wise’, banyak lagi yang boleh kita tingkatkan tetapi bagaimana kita nak pastikan perkara ini boleh dilaksanakan di bawah pengurusan yang kompeten dan tepat, Jadi saya optimis kita boleh pergi jauh.

“Kita tidak boleh berhenti setakat di sini kerana kita perlu terus memandang ke depan. Dengan perancangan yang disusun Tunku Mahkota Ismail, saya percaya Cahill boleh memberikan sesuatu kepada negara kita,” kata Fauzi.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan timbul spekulasi mengenai Cahill menjadi antara individu yang akan menyertai Tunku Mahkota Ismail dalam usaha merevolusikan bola sepak negara.

Khabar angin itu bertiup kencang selepas Cahill sebelum ini sudah bertemu Tunku Mahkota Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ogos lalu.

Sekiranya benar, sudah pasti ini satu perkembangan positif memandangkan Cahill berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi dan sudah tentu ini menjadi aset untuk membantu perkembangan bola sepak negara.

sumber:- BH

Cahill bukanlah satu nama asing dalam bola sepak antarabangsa khususnya ketika zaman kegemilangannya bersama Everton di Liga Perdana Inggeris (EPL) selain bertugas di Akademi Aspire, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Qatar (Qatar FA).