Adakah sebab kecederaan ?

Penampilan semula beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam kejohanan kompetitif di Masters Kumamoto, Jepun selepas lebih sebulan ‘berehat’ berakhir dengan nota kecewa, semalam.

Diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan pada aksi di Gimnasium Kumamoto, Tang Jie-Ee Wei disingkirkan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi straight set, 21-15, 21-12.

Beregu ranking sembilan dunia itu terlepas beberapa kejohanan utama selepas Ee Wei mengalami kecederaan di bahagian lengan ketika menjalani latihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM), September lalu.

Sekalipun tidak diketahui sama ada kecederaan yang memerlukan 16 jahitan itu memberikan kesan kepada prestasi Ee Wei, pasangan negara itu tewas hanya dalam tempoh 31 minit bertemu pasangan yang baharu digandingkan dari Thailand itu.

Dechapol yang juga bekas juara dunia bergandingan dengan Supissara selepas berpisah dengan pasangannya sebelum ini, Sapsiree Taerattanachai sejurus Olimpik Paris berakhir.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu campuran di pusingan kedua diteruskan tiga pasangan diketuai beregu ranking sepuluh dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Pilihan ketiga kejohanan yang juga gandingan profesional itu berdepan tentangan sengit pasangan tuan rumah, Yuta Watanabe-Maya Taguchi, 18-21, 21-12, 21-14 sebelum mara.

Turut mara adalah beregu ranking ke-25 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menewaskan pasangan tuan rumah Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18, 21-19.

Begitupun menanti mereka di pusingan kedua adalah pilihan ketujuh dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Terdahulu, satu lagi beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mencipta kejutan selepas menewaskan pasangan ranking 19 dunia dari Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund untuk mengesahkan kemaraan.

sumber:- HM

Beregu ranking 45 dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menang dalam aksi tiga set, 22-20, 11-21, 21-12 dalam tempoh sejam 14 minit.