sukan

JDT boleh tersenyum lebar

Juara 10 kali Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin tidak perlu bermandi peluh apabila diundi bertemu pasukan Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers, pada pusingan 16 Piala Malaysia edisi 2024/2025.

Menerusi majlis undian dijalankan malam tadi menyaksikan pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu tidak akan berhadapan masalah untuk ke peringkat suku akhir dan akan bertemu lawan membabitkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah juara 33 kali Selangor FC akan beradu tenaga dengan Sri Pahang FC, manakala juara lapan kali Perak FC pula akan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Laluan mudah turut menanti naib juara musim lepas Terengganu FC, yang akan memburu slot ke suku akhir menentang skuad dari Liga A1 Semi Pro Melaka FC, manakala juara tiga kali Negeri Sembilan FC pula akan berentap dengan PDRM FC.

Perlawanan lain membabitkan Penang FC melawan Kuching City FC, manakala naib juara tiga kali Sabah FC diundi berhadapan satu lagi pasukan Liga A1 Semi Pro PT Athletic FC.

Mengikut rekod, perlawanan pusingan 16 yang akan dijalankan secara timbal balik bermula 20 November ini.

Saingan suku akhir dan separuh akhir juga akan dijalankan secara timbal balik, manakala venue final yang dijadual berlangsung April depan pula bakal ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelak.

sumber:- HM

Pasukan yang gagal meloloskan diri ke suku akhir Piala Malaysia kali ini bakal beraksi pada Piala Cabaran MFL 2024/2025.