Tindakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada yang berbalah ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mungkin mengundang ‘bala’ kepada kedua-dua pemain.
Ini kerana kedua-dua pemain berisiko berdepan penggantungan perlawanan sekali gus bukan sahaja merugikan pemain terbabit namun memberi kesan kepada pasukan masing-masing selepas tidak dapat menggunakan khidmat mereka dalam perlawanan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah tidak menolak kemungkinan dua pemain itu boleh berdepan hukuman tambahan sekalipun tidak dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Kamarudin juga turut berpendapat Arif Aiman yang ketika ini menyertai kem latihan skuad kebangsaan sewajarnya dilayangkan kad merah selepas didapati menumbuk Tommy Mawat ketika insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu.
Berdasarkan semakan berdasarkan kes terdahulu dalam Liga Malaysia (Liga M), penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana melepaskan tumbukan ke kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada 2022.
Malah, pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris yang menumbuk muka pemain Terengganu FC (TFC), Issey Farran Nakajima pada 2017 turut dilayangkan kad merah dan lebih malang, pemain itu digantung empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Terdahulu, badan induk itu memandang serius insiden perbalahan antara Arif Aiman dan Tommy Mawat dengan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan mereka tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun hanya dilayangkan kad kuning oleh Razlan.
Bagaimanapun, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Ismail menegaskan pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan juga Tommy Mawat Bada selepas didapati bergaduh pada aksi terbabit.
Malah, Tunku Mahkota Ismail berpandangan Perak FC sepatutnya diberikan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pertahanan, Feroz Baharudin ke atas pemain Perak FC, Clayton Silveira pada minit ke-37.
sumber:- BH
“Ref patut red card untuk dua-dua players bergaduh. Feroz 50/50 challenge saya tak tahu. But kalau saya ref bagi aja penalty pada Perak,” kata Tunku Mahkota Ismail.