sukan

TERKINI: Aaron-Wooi Yik cipta sejarah muncul Juara Masters Korea

Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa mengerah segala keringat sebelum menjuarai gelaran Masters Korea, hari ini yang juga gelaran pertama beregu lelaki utama negara itu tahun ini.

Bertemu pasangan tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho di pentas final yang berlangsung di Gimnasium Iksan, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking enam dunia memerlukan aksi tiga set sebelum meraih kemenangan.

Sekalipun diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan dan diramal tidak bermasalah untuk menang, Aaron-Wooi Yik jelas diberikan tentangan cukup sengit oleh Jin Yong-Won Ho apabila tewas set pertama 21-23.

Memperoleh sokongan cukup padu peminat sendiri, Jin Yong-Won Ho seperti mendapat semangat luar biasa sekalipun Aaron-Wooi Yik terlebih dulu memperoleh mata akhir.

Pertarungan sengit diteruskan pada set kedua dengan kedua-dua pasangan saling berbalas mata namun pengalaman jelas memberikan kelebihan buat pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu untuk menang 21-19 sekalipun pada satu ketika ketinggalan agak jauh.

Pada set penentuan, Jin Yong-Won Ho yang baru saja berpasangan cuba memberikan tentangan sengit di awal permainan tetapi cabaran itu berjaya ditamatkan Wooi Yik yang seperti sudah memperoleh permainan terbaiknya dengan aksi ditamatkan dalam masa 66 minit.

Sekalipun kejayaan yang diraih di Masters Korea adalah berstatus Super 300 BWF (Persekutuan Badminton Dunia), ia begitupun amat diperlukan oleh Aaron-Wooi Yik yang masih memburu tempat ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.

sumber:- BH

Selepas Masters Korea, pasangan itu dijadual mengharungi kejohanan bertaraf Super 500 Kumamoto Masters Jepun yang membuka tirainya Selasa ini.