Skuad senior kebangsaan tidak boleh dianggap sebagai medan atau tempat untuk belajar bagi barisan pemain muda yang dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebaliknya, pemain berstatus junior harus menjadikan skuad senior Harimau Malaya sebagai gelanggang untuk menunjukkan bakat dan kemampuan bahawa mereka layak untuk dipanggil menyertai pasukan negara.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berpendapat pemain muda yang dipanggil perlu lebih berani untuk ‘melanggar’ pemain senior bagi merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.
“Pada saya, (menyertai skuad senior) bukan lagi peringkat belajar. Apabila dipanggil ke pasukan senior kebangsaan, mereka kena tunjukkan prestasi yang terbaik. Kalau belajar di peringkat bawah 20 tahun, 19 tahun atau 17 tahun.
“Pemain yang ada sekarang ini adalah campuran pemain muda dan pemain senior, jadi terpulang kepada barisan kejurulatihan untuk mengadun benda itu sesuai dengan corak taktikal yang diinginkan,” katanya kepada BH Sukan.
Berdasarkan senarai 26 pemain yang dipanggil, ketua jurulatih skuad kebangsaan Pau Marti Vicente menyenaraikan lapan pemain berusia 23 tahun dan ke bawah termasuk bintang muda yang dianggap sudah berstatus senior, Arif Aiman Hanapi.
Tujuh lagi pemain muda termasuk Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Ubaidullah Shamsul Fazili, Nooa Laine, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Haqimi Azim Rosli yang mana mereka juga menjadi antara tonggak bersama kelab masing-masing.
Vicente turut menyenaraikan 15 pemain berusia 24 hingga 30 tahun serta tiga pemain melebihi umur 30 tahun iaitu Natxo Insa (38 tahun), Paulo Josue (35) dan Daniel Ting (32).
Pengendali dari Sepanyol itu mengekalkan 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand, bulan lalu dan memanggil enam pemain baharu termasuk penjaga gol, Haziq Nadzli, Ubaidullah, Mukhairi, Sergio Aguero, Insa serta kapten, Dion Cools.
Skuad Harimau Malaya akan berlatih dua hari di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula hari ini sebelum berlepas ke Bangkok, Selasa ini bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Laos, Khamis ini.
sumber:- BH
Harimau Malaya kemudian akan terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk satu lagi perlawanan persahabatan menentang India pada 18 November ini.