Pemain bola sepak di negara ini dinasihatkan tidak mudah gelap mata dengan tawaran gaji besar dan terpedaya janji manis kelab tertentu.
Justeru, mereka disaran untuk memilih pasukan yang lebih kurang berisiko susulan situasi semasa apabila banyak kelab dalam Liga Super dan Liga A1 ketika ini berdepan dengan masalah kewangan.
Perkara itu disuarakan penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menyifatkan perkara paling utama buat pemain ketika ini adalah mengelak daripada terjerat atau menjadi mangsa ‘penyakit’ tunggakan gaji.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat pemain yang tidak mempunyai banyak pilihan hingga menyebabkan mereka terpaksa menerima sahaja tawaran yang datang meskipun sedar berdepan risiko tidak dibayar gaji.
“Kalau boleh, pilihlah pasukan yang benar-benar ada kewangan kukuh dan seeloknya cari pasukan yang kurang berisiko. Sebelum tandatangan kontrak, kaji dulu kewangan pasukan dan siapa di belakang kelab terbabit.
“Selepas itu buat pilihan sama ada nak gaji tinggi tapi risiko kemungkinan tak dapat gaji empat atau lima bulan atau dibayar gaji yang tidak tinggi, tetapi kurang risiko berdepan isu tunggakan gaji.
“Namun, kita juga kena ingat bahawa tidak semua pemain mendapat kesempatan seperti itu (dapat banyak tawaran) kerana yang mahukan khidmat mereka adalah kelab, bukan pemain itu pilih, kecuali pemain yang jadi rebutan banyak pasukan.
“Kadang-kadang pemain tiada pilihan walaupun dia tahu kelab itu ada masalah termasuk dari segi pembayaran gaji,” katanya kepada BH Sukan.
Hari ini, BH Sukan melaporkan isu tunggakan gaji dalam kancah bola sepak tempatan boleh dianggap sebagai rutin apabila setiap tahun masalah itu berlaku dan ia turut menyerang beberapa pasukan liga separuh profesional, Liga A1.
Malah, muncul juga persoalan adakah wujud ‘scammer’ atau penipu yang berselindung di sebalik status sebagai pemilik kelab bola sepak di Malaysia?
Ia susulan salah satu ‘pemilik’ kelab yang bersaing dalam Liga A1 dikatakan mengabaikan tanggungjawab selepas pasukan itu berdepan isu tunggakan gaji lebih empat bulan.
Mengulas mengenai perkara itu, Pekan menganggap tidak semua pemilik yang gagal menguruskan kewangan kelab adalah scammer kerana ada kes tunggakan gaji yang berlaku disebabkan perancangan pasukan tidak berjalan seperti diharapkan.
“Kadang-kadang mereka ini (pemilik kelab) ada minat untuk menguruskan kelab bola sepak, tapi faktor kewangan tak cukup. Contohnya apabila mereka dapat ambil alih kelab, mereka harap akan datang sokongan daripada penaja atau kutipan tiket dan sebagainya, tapi benda itu tak berlaku.
sumber:- BH
“Situasi itu akan menyebabkan kelab tidak stabil dan tidak mampu bertahan lama. Mungkin pada peringkat awal mereka ini bukanlah scammer, sebenarnya janji yang tidak mampu ditepati,” katanya.