Sentuhan Natxo Insa ditagih kembali oleh skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan Tier 1 berdepan Laos dan India pada jendela antarabangsa November ini.
Natxo, 38, yang juga pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) kali terakhir memperkuatkan skuad negara pada saingan Piala Asia di Qatar, Januari lalu sebelum namanya tercicir dalam beberapa aksi termasuk Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac dan Jun lalu, serta tidak dipanggil pada saingan Pestabola Merdeka Oktober lalu.
Begitupun, kemantapannya mengemudi jentera tengah JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menyaksikan pengendali negara, Pau Marti Vicente menyenaraikan semula khidmatnya dengan latihan pusat akan bermula Ahad ini.
Selain Natxo, seorang lagi pemain kacukan iaitu Dion Cools turut disenaraikan selepas tidak bersama pasukan pada aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand, bulan lalu.
Berdasarkan senarai panggilan, Vicente mengekalkan seramai 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand sebelum ini.
Selain Natxo dan Cools, empat pemain baharu dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) dan Sergio Aguero (Sri Pahang FC).
sumber:- HM
Skuad negara akan menghadapi dua aksi bertemu Laos di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada Khamis, 14 November dan menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin, 18 November ini.