sukan

Komen AFC terhadap Arif Aiman tarik perhatian

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melabelkan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebagai ‘budak ajaib’ selepas aksi cemerlangnya ketika menentang jaguh Korea Selatan, Ulsan HD dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), kelmarin.

Arif Aiman menjaringkan gol pembukaan pada minit kelapan selepas bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu.

Jaringannya itu juga menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu kini berada di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak ACLE dengan empat gol di belakang pemain Gwangju FC, Jasir Asani yang sudah meledak enam gol.

Malah, ketajaman Arif Aiman itu juga membolehkan dia mengatasi pemain handalan dunia lain dalam senarai penjaring yang turut beraksi dalam ACLE seperti Riyad Mahrez dengan tiga gol, Cristiano Ronaldo (dua gol) dan Roberto Firmino (dua gol).

“‘Budak ajaib’ JDT dengan penyudah yang indah,” tulis laman Facebook Liga Juara-Juara AFC yang turut memuat naik video gol Arif Aiman ketika menentang Ulsan HD.

Arif Aiman menampilkan aksi konsisten di pentas Asia apabila telah meledak empat gol daripada empat perlawanan ACLE yang diharungi JDT.

sumber:- stadium astro

Pasukan Harimau Selatan itu juga kini berada pada kedudukan keempat daripada 12 pasukan dalam saingan ACLE Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. – Sinar Harian