sukan

‘TMJ mampu bayar gaji Cahill’

Ketua Eksekutif Sukan Akademi Aspire, Tim Cahill yang dikhabarkan menyertai revolusi bola sepak negara bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sudah pasti hadir dengan pakej ‘premium’ khususnya membabitkan imbuhan ataupun pembayaran gaji.

Bagaimanapun, bila diminta mengenai isu ini, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah melihat itu bukanlah satu masalah untuk Tunku Mahkota Ismail sekiranya benar beliau berminat untuk membawa legenda Australia itu dalam struktur baharu membabitkan skuad kebangsaan.

Jelasnya yang juga ejen berpengalaman selama lebih 20 tahun itu, isu gaji juga adalah subjektif memandangkan ia bergantung kepada posisi yang bakal diisi Cahill namun perkara itu sudah pasti sudah dipertimbangkan sewajarnya oleh pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Saya mengulas perkara ini hanya atas dasar spekulasi tetapi sudah tentulah, gajinya tidak murah, mestilah ada premium tetapi saya rasa Tunku sudah fikirkan segalanya secara keseluruhan.

“Jadi saya rasa isu gaji atau imbuhan ini bukan satu perkara berbangkit. Kalau betul Tunku mahukan Cahill ataupun mana-mana individu, sudah tentu Tunku berkeyakinan ada kemampuan untuk merealisasikan hasrat itu.

“Kita pun tidak tahu apa posisi Cahill, mungkin Cahill dipertanggungjawabkan untuk perkara teknikal sahaja manakala perkara lain seperti operasi, hubungan awam dan pengurusan krisis akan diletakkan kepada wakil tempatan yang ada kemampuan.

“Jadi apa sahaja perancangan Tunku, saya rasa beliau sudah fikirkan sebaiknya kerana beliau seorang yang tahu buat kerja,” kata Effendi.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan timbul spekulasi mengenai bekas pemain Everton itu menjadi antara individu yang akan menyertai Tunku Mahkota Ismail dalam usaha merevolusikan bola sepak negara.

Khabar angin itu bertiup kencang selepas bekas pemain Everton sebelum ini sudah bertemu Tunku Mahkota Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT, Alistair Edwards dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ogos lalu.

Sekiranya benar, sudah pasti ini satu perkembangan positif memandangkan Cahill berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi dan sudah tentu ini menjadi aset untuk membantu perkembangan bola sepak negara.

sumber:- BH

Cahill bukanlah satu nama asing dalam bola sepak antarabangsa khususnya ketika zaman kegemilangannya bersama Everton di Liga Perdana Inggeris (EPL) selain bertugas di Akademi Aspire, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Qatar (Qatar FA).