Di bawah langit Iskandar Puteri, pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi memperagakan kelasnya apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan berdepan juara Liga Korea (Liga K), Ulsan Hyundai malam tadi.
Pemain sayap kebangsaan itu bijak merampas bola daripada pertahanan Ulsan Hyundai dan dia tidak berdepan masalah untuk menewaskan Jo-Hyeon Woo untuk gol pertama yang jelas membuka ‘pintu’ untuk skuad Harimau Selatan menewaskan pelawat 3-0.
Pengendali Ulsan Hyundai, Kim Pan Gon pasti sukar menghadamkan realiti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) apabila pemain yang sebelum ini menjadi bintang di bawah kendaliannya bersama skuad Harimau Malaya kini seperti ‘senjata makan tuan’.
Jika dahulu, sudah pasti pengendali dari Korea Selatan itu bersorak kegembiraan apabila Arif Aiman menggegar gawang tetapi kali ini, jaringan Arif Aiman bagaikan ‘pedang’ menikam tepat di rusuk kanannya.
Bukan sahaja buat Pan Gon malah penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon Woo mungkin ‘menyumpah’ nasibnya setiap kali menentang pasukan dari Malaysia ataupun menentang Malaysia.
Setakat perlawanan semalam, penjaga gol skuad kebangsaan ‘Taeguk Warriors’ itu sudah melepaskan 10 gol menentang JDT – tidak termasuk tiga gol menentang Malaysia pada aksi Piala Asia 2023, Januari lalu.
Jaringan itu menyaksikan pemain yang digelar ‘Mr MVP (Pemain Paling Bernilai)’ itu menokok satu lagi gol dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) 2024/25 untuk jumlah keseluruhan empat gol daripada empat perlawanan setakat ini.
Empat gol itu membolehkan Arif Aiman menjadi penjaring terbanyak JDT pada kempen ACLE dan ini satu pencapaian yang membanggakan terutama selepas pemain import JDT menjadi sandaran utama untuk merobek gawang lawan.
Ini meletakkan pemain berusia 22 tahun itu hanya ketinggalan dua gol di belakang penjaring terbanyak ACLE ketika ini, Jasir Asani yang sudahpun menyumbang enam gol buat Gwangju FC.
Empat jaringan Arif Aiman itu secara tidak langsung meletakkan dia sebaris dengan Aleksandr Mitrovic dan Salem Al-Dawsari (Al-Hilal), Soufiane Rahimi (Al-Ain) dan Taisei Miyashiro (Vissel Kobe).
Malah, tidak keterlaluan jika ‘output’ jaringan di ACLE sahaja diambil kira, pemain itu sebenarnya sudah mengatasi nama besar lain seperti pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo; bekas penyerang Liverpool, Roberto Firmino dan Pemain Terbaik Piala Asia 2023, Akram Afif.
sumber:- BH
Sebagai rekod, nama besar seperti Riyad Mahrez meledak tiga gol sementara Firmino pula dua gol buat Al-Ahli, Ronaldo pula baru menghasilkan dua gol untuk Al-Nassr sementara dua gol disumbangkan Akram Afif bersama Al-Sadd bagi kempen ACLE setakat ini.