Biarpun kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini, penampilan penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim tidak kurang hebatmya.
Buktinya ketika aksi Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat lalu yang memihak kepada TFC 1-0, bekas penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu beraksi cemerlang tanpa bolos.
Lebih manis penampilan pertama Rahadiazli berjaya membantu pasukannya menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut sebelum ini termasuk dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara bagi merebut Piala Shopee.
Hal ini diakui ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali yang menyifatkan penjaga gol muda itu sudah kembali pada tahap prestasi terbaiknya sebagaimana ketika dipilih menyertai skuad B-23 dan senior kebangsaan.
“Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan Rahadiazli yang beraksi cemerlang tanpa bolos biarpun begitu lama tidak beraksi memandangkan perlawanan itu adalah penampilan pertamanya pada musim ini.
“Tapi komitmen yang ditunjukkan pemain itu perlu ditingkatkan serta lebih banyak lagi belajar terutama dalam beberapa situasi untuk menyelamatkan bola.
“Pada masa sama saya mengharapkan dia sentiasa bersedia selain terus diberi peluang beraksi sebagai pendedahan kepadanya,” ujar Badrul Afzan.
Terdahulu di bawah bimbingan ketua jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner, pemain berketinggian 1.92 meter kelahiran Setiu itu hanya diletakkan sebagai pemain dibangku simpanan.
Posisi itu sebelum ini kerap menjadi milik Suhaimi Husin dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, namun dengan prestasi terkini, peluang buat tiga pemain itu menjadi penjaga gol utama semakin sengit.
sumber:- HM
Berdasarkan rekod, penjaga gol yang lebih mesra dipanggil ‘Abe’ itu pernah menyarung jersi skuad senior kebangsaan pada 2022 selain skuad B-23.