sukan

Pan Gon cuba nasib di Johor

Selepas tumbang di tangan kelab Korea Selatan, Gwangju FC sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan satu lagi wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai bagi aksi keempat Liga-Juara Juara Elit (ACLE), malam ini.

Pertembungan ini menjanjikan sesuatu yang menarik susulan kepulangan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang kini mengendalikan Ulsan Hyundai dan bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai juara Liga Korea (Liga K) yang baharu.

Namun juara Liga K itu berdepan nasib berbeza di ACLE yang menyaksikan mereka terperosok di tangga tercorot Zon Timur ACLE apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan setakat ini.

Justeru, gelaran terbaharu ini seharusnya menjadi motivasi terbaik buat skuad Tigers untuk ‘menterbalikkan’ musim mereka di ACLE musim ini bermula dengan aksi menentang Harimau Selatan.

Meskipun tampil sebagai juara Liga K namun mereka pasti ‘ketar-ketir’ apabila dianggap seperti bertandang ke ‘neraka’ berdasarkan rekod mereka apabila menentang JDT di SSI.

Ini akan menjadi pertembungan kelima buat kedua-dua pasukan namun JDT memegang tiga kemenangan dan Ulsan Hyundai dengan satu kemenangan – tiga kemenangan JDT ke atas Ulsan Hyundai dilakar di laman sendiri.

JDT cipta sejarah

Pada musim 2022 di mana saingan peringkat kumpulan berlangsung di Johor Bahru, JDT memenangi dua aksi terbabit dengan kemenangan 2-1 pada musim yang menyaksikan mereka mencipta sejarah sebagai pasukan dari Malaysia pertama melayakkan diri ke pusingan kalah mati ACL.

Ulsan Hyundai menebus kekalahan itu dengan keputusan 3-1 pada aksi di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu pada musim 2023/24 namun kunjungan ketiga di SSI sekali lagi membuatkan mereka pulang tangan kosong apabila tumbang 1-2.

Justeru, rekod ini sedikit sebanyak memberi kemenangan moral ke atas skuad bimbingan Hector Bidoglio menjelang aksi ini dan mereka sudah pasti mahu kembali mengutip kemenangan selepas tercicir tiga mata pada aksi terakhir.

Pan Gon yang sebelum ini bersama skuad Harimau Malaya pasti mengenali ramai pemain kebangsaan yang membarisi skuad JDT namun ‘wajah’ JDT berbeza 100 peratus bagi aksi ACLE.

sumber:- BH

Ini kerana berdasarkan beberapa perlawanan terdahulu, JDT menurunkan ramai pemain import untuk memberi saingan di ACLE sekali gus ini bukanlah JDT seperti yang pernah dikenali Pan Gon sebelum ini.