sukan

Adakah Cahill pilihan TMJ ?

Adakah bekas pemain kebangsaan Australia, Tim Cahill akan menjadi antara individu yang akan menyertai Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam usaha merevolusikan bola sepak negara?

Spekulasi itu bertiup kencang selepas bekas pemain Everton sebelum ini sudah bertemu Tunku Mahkota Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT, Alistair Edwards dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ogos lalu.

Sekiranya benar, sudah pasti ini satu perkembangan positif memandangkan Cahill berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi dan sudah tentu ini menjadi aset untuk membantu perkembangan bola sepak negara.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah mengeluarkan komen yang seakan memberi bayangan terhadap masa depan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk berada di bawah kendaliannya.

“Saya tidak akan sertai FAM, FAM akan sertai saya,” kata Tunku Mahkota Ismail ketika membalas komen pelayar Internet di Instagram yang bertanyakan bila beliau akan menyertai FAM.

Sebagai rekod, Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak untuk pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13 dengan kerjasama FAM.

Katanya, ia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.

Cahill juga sebelum ini tampak mengambil perhatian mengenai perkembangan bola sepak tanah air apabila memberikan reaksi terhadap pengumuman yang dilakukan Anwar mengenai peruntukan RM15 Juta yang disalurkan buat Harimau Malaya.

“Tahniah bola sepak Malaysia,” kata Cahill menerusi laman platform X.

Cahill bukanlah satu nama asing dalam bola sepak antarabangsa khususnya ketika zaman kegemilangannya bersama Everton di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif Sukan Akademi Aspire.

sumber:- BH

Selain itu, Cahill yang juga Ikon Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Qatar (Qatar FA).