sukan

JDT pun ‘besar’

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak mahu mensia-siakan aksi di laman sendiri untuk meraih keputusan positif ketika menentang Ulsan HD dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.

Bidoglio berkata, persiapan pasukan juga sangat bagus selain sedar ia akan menjadi perlawanan sukar berdepan Hyundai yang juga jaguh Korea Selatan.

Namun, beliau percaya JDT juga merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mampu menghadirkan masalah buat pasukan kendalian Kim Pan-gon itu.

“Persiapan pasukan sangat bagus, kami tahu ia akan menjadi perlawanan sukar. Tetapi, semua pemain berada dalam keadaan baik untuk beraksi.

“Kami tahu Ulsan merupakan pasukan bagus, ada pemain berkualiti, tetapi saya tidak fokus kepada mereka. Sebaliknya saya fokus kepada pasukan sendiri.

“Saya menghormati Ulsan kerana mereka sebuah kelab yang besar, tetapi JDT juga kelab yang besar. Untuk beberapa tahun terakhir JDT berkembang dengan pesat.

“Jadi, kami juga mahu memastikan ia berterusan dan kami perlu menunjukkan potensi kami perlawanan demi perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin.

JDT ketika ini berada di kedudukan kelima dalam Kumpulan A ACLE Zon Timur manakala Ulsan HD pula di kedudukan tercorot selepas tiga perlawanan.

Dalam pada itu, Bidoglio juga menuntut para pemain JDT untuk menampilkan persembahan agresif sepanjang 90 mminit perlawanan.

“Kami mahu menguasai bola, bermain dengan dinamik serta intensiti tinggi. Beraksi di laman sendiri, kami perlu menggembirakan penyokong,” katanya.

sumber:- SH

JDT memiliki rekod baik ke atas pasukan dari Korea Selatan itu menerusi tiga kali kemenangan dan satu kekalahan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2022 dan 2023.