sukan

Pemain import dah jadi pendatang tanpa izin

Kelantan Darul Naim (KDN) FC didakwa bertindak secara tidak profesional apabila gagal melunaskan tunggakan gaji dan mengabaikan pemain import mereka dari Korea Selatan.

Menurut ejen pemain, Myeongho Jeong, lebih menyedihkan apabila pemain terbabit kini hidup di negeri itu seperti pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas pihak pengurusan dikatakan dengan sengaja tidak mahu memperbaharui visa pemain yang kini sudah tamat hampir enam bulan lamanya.

Jelas Jeong, pihaknya sedaya upaya mencari jalan penyelesaian namun KDN FC sering mengelak seterusnya menabur janji palsu sehingga urusan itu yang sepatutnya boleh diselesaikan lebih namun tertangguh dalam tempoh yang agak lama.

Situasi terbabit sekali gus menyebabkan beliau memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk cabur tangan dalam hal ini.”FAM, tolong bantu pemain ini. Mereka kini tinggal di Malaysia seperti Pati kerana sudah enam bulan mereka tidak mendapat visa. Pemain serta jurulatih (dari Korea) tidak boleh menaiki kapal terbang (perlawanan di tempat lawan) kerana tiada visa termasuk terbang ke mana-mana.

“FAM dan media harus membantu pemain ini kerana mereka setiap hari menipu dan tidak memberikan visa seperti dijanjikan. Saya bekerja dengan banyak kelab di Asia dan saya rasa Liga Super Malaysia adalah paling teruk. Mereka juga gagal membayar gaji selama tiga bulan termasuk isu visa selama enam bulan. Adakah penyokong tahu perkara ini?

“FAM tolong siasat pasukan ini (KDN FC) kerana keadaan pemain amat menyedihkan dan tolong bantu mereka,”katanya.

Selain itu, Jeong turut memaklumkan bahawa dirinya sudah cuba menghubungi pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu itu namun merek sering mengelak dan beliau turut menyatakan perkara seperti ini menjadi faktor mengapa bola sepak di Malaysia tidak boleh berjaya.

“Saya dan pemain termasuk jurulatih sudah bersabar sangat lama dan perkara ini membuatkan kami sangat marah. Malah kami seperti dipergunakan oleh pasukan. Pemilik kelab sentiasa mengelak, tidak pernah jawab telefon dan sering menipu kakitangan di dalam pasukan ini. Adakah ini taraf Liga Super Malaysia?

“Pasukan sampah seperti ini sentiasa ada dalam liga. Saya belajar banyak perkara dalam 3 tahun ini dan tahu kenapa bola sepak Malaysia tidak boleh berkembang dengan baik,”katanya.

Oleh itu, beliau berharap pihak berwajib dapat campur tanggan dalam isu seperti ini dan membantu pemain termasuk jurulatih mendapatkan hak mereka yang dinafikan oleh pihak pengurusan selama ini.

sumber:- HM

Sebagai rekod, KDN FC menggunakan empat pemain import dari Korea iaitu Kim Ri-gwan,Bae Kyung-Hwan, Goo Ah-woi dan Jung Byung-ju dan ketua jurulatih, Park Jae Hong.