Pengendali skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya selepas merakamkan kemenangan ke-12 pasukan itu dalam aksi Liga Super menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC), 4-0, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Walaupun berdepan dengan pasukan yang menduduki tangga terbawah carta, namun beliau menyifatkan pertembungan dengan skuad Hobin Jang Hobin itu adalah sengit dan mencabar.
“Ini adalah perlawanan yang sengit, namun pemain telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh permainan dan berjaya mencipta banyak peluang serta memanfaatkannya dengan jaringan.
“Saya puas hati dengan persembahan mereka malam ini (malam tadi) yang sentiasa menunjukkan graf peningkatan yang baik dan dengan fasiliti yang bagus, mereka dapat beraksi cemerlang.
“Pasukan perlu terus kuat dan semua pemain mempunyai tanggungjawab dalam bertahan dan menyerang dan saya gembira dengan prestasi mereka.
“Walaupun kami bermain banyak perlawanan tetapi kami mempunyai ramai pemain yang bagus, mereka sentiasa cergas dan mantap hasil latihan yang baik.
“Saya percaya setiap dari mereka mempunyai kemampuan 100 peratus dalam perlawanan termasuk di peringkat antarabangsa (Liga Juara-Juara Asia Elite),” kata Bidoglio kepada media selepas perlawanan malam tadi.
Pada pertembungan yang dihadiri kira-kira 4,000 penyokong kedua-dua pasukan itu, empat gol skuad Harimau Selatan masing-masing dijaringkan Heberty Andrare pada minit ke-14 dan ke-20 disusuli Arif Aiman Hanafi(M-48) dan Jorge Obregon Rojas pada penghujung babak perlawanan.
Bidoglio turut memuji Corbin Ong yan bermain baik dan banyak kemajuan diserlahkan pemain itu.
“Bagi saya yang paling penting adalah JDT bermain dalam kerjasama satu pasukan, perlu tahu posisi masing-masing.
“Untuk setiap perlawanan peluang mereka berbeza dan saya mahu JDT terus kompetatif dan akan terus berusaha berlatih untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Ulsan Hyndai pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Selasa ini, Bidoglio mengharapkan anak buahnya supaya lebih kompetetif.
Beliau mahu pemain bersedia secukupnya menjelang pertemuan penting berkenaan dan mahu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Sasaran saya semua pemain perlu berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing menjelang perlawanan dengan Ulsan dan saya mahukan jaringan yang lebih banyak dapat diterjemahkan pada pertembungan Selasa nanti,” katanya.
sumber:- HM
Pada aksi sebelum ini menentang wakil Korea Selatan, Gwangju yang berlangsung di Stadium Yongin Mireu, JDT tewas 1-3.