Pengendali Ulsan HD, Kim Pan Gon berkata beliau berasa lega apabila mengemudi kelab itu memenangi kejuaraan Liga-K buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi keraguan mengambil alih peranan ketua jurulatih pada pertengahan musim.
Pasukan kendalian Pan Gon menewaskan pencabar terdekat Gangwon FC 2-1 semalam bagi memastikan kejuaraan liga kelima buat kelab itu dan pertama sejak bekas jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia itu menggantikan Hong Myung Bo pada hujung Julai lalu.
“Saya amat berbesar hati berpeluang untuk bekerja dengan pemain yang begitu hebat dan saya tahu saya mesti memenangi kejuaraan di sini,” kata Pan Gon, yang menghabiskan lima musim bersama Ulsan sebagai pemain sebelum memulakan karier kejurulatihan di Hong Kong pada tahun 2002.
“Ada banyak tekanan untuk melebarkan catatan kejuaraan. Saya amat gembira untuk menyempurnakannya.”Pan Gon mengambil alih apabila Myung Bo, yang mengemudi Ulsan merangkul kejuaraan liga berturut-turut pada 2022 dan 2023, melepaskan jawatan untuk menggantikan Jurgen Klinsmann sebagai bos pasukan kebangsaan Korea Selatan.
Ulsan tumpas hanya sekali dalam Liga-K sejak ketibaan Pan Gon dan kemenangan ke atas Gangwon, yang hadir menerusi gol Gustav Ludwigson dan Joo Min Kyu, adalah yang kelapan dalam 11 perlawanan liga sejak pemergian Myung Bo.
Keputusan itu hadir sekalipun Pan Gon secara peribadi mempersoalkan sama ada beliau membuat keputusan tepat untuk kembali ke Korea Selatan dan menjadi ketua jurulatih Liga-K buat kali pertama dalam kariernya.
“Dalam tempoh beberapa bulan lalu, saya sering tertanya-tanya jika saya membuat pilihan yang betul untuk memegang jawatan ini,” katanya.
“Namun saya terpaksa mengatasi cabaran itu secara sendirian. Menangisi diri sendiri tidak akan menyelesaikan apa-apa.
sumber:- BH
“Mujurlah, mempunyai pemain yang percaya kepada saya dan mengikut setiap arahan saya menjadi alasan utama kami muncul juara.” – REUTERS