Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk meraih mata di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Selangor FC bangkit selepas tewas 0-3 pada aksi lalu di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mengukuhkan kedudukannya di tangga kedua Liga Super selepas 14 perlawanan setakat ini.
Pada aksi berlangsung di hadapan 5,090 penonton, Kedah memulakan gerakan bahaya ke kubu Selangor menerusi tandukan kapten pasukan, Sony Norde hasil hantaran pemain sayap Sukhrob Nurullaev pada minit kesembilan namun sedikit tersasar.
Selangor yang lebih kerap menyerang dari sebelah kiri cuba menekan menerusi dua pemain sayapnya iaitu Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal, namun penjaga gawang Kedah Ifwat Akmal kekal tenang menyelamatkan keadaan.
Kedudukan tanpa jaringan itu berlarutan hingga ke hujung babak pertama dengan tiga minit masa tambahan diberikan oleh pengadil perlawanan Hasrol Mohd Amir.
sumber:- stadium astro
Sebaik babak kedua bermula, Selangor terus menekan kubu Kedah dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi sentuhan pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan yang menolak bola ke gawang lawan pada minit ke-47 selepas menerima hantaran silang Ahmad Zikri Khalili.Kedudukan 1-0 itu kekal hingga penamat.