sukan

Nama Park Hang Seo jadi sebutan jadi pengganti

Naib juara Piala FA, Selangor FC (SFC) mengumumkan keputusan mengejutkan apabila ketua jurulatih Gergasi Merah, Nidzam Jamil meletak jawatan berkuat kuasa serta merta, kelmarin.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan siapa yang akan menggantikan tempat Nidzam untuk membimbing Selangor dengan tugas itu ketika ini dipangku Abdi Hassan secara interim.

Beberapa calon termasuk Bojan Hodak, Park Hang Seo dan Nafuzi Zain dilihat boleh menjadi antara nama yang berpotensi untuk memacu juara 33 kali Piala Malaysia itu.

Bojan tidak asing lagi dengan Liga Malaysia (Liga M) dan juga sudah mengenali budaya bola sepak di negara ini selepas pernah membimbing beberapa kelab dan pasukan bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan.

Malah, pengendali dari Croatia itu dianggap sebagai antara jurulatih paling berjaya dalam Liga M apabila pernah mengecapi pelbagai kejayaan terutama meraih kejuaraan trebel bersama Kelantan pada 2012.

Dia juga membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali pertama pada 2014 selain menamatkan penantian 32 tahun Kuala Lumpur (KL) City untuk menjulang Piala Malaysia pada 2021.

Bagaimanapun, berdasarkan laman transfermarkt.com, kontrak Hodak bersama Persib Bandung dijangka berakhir pada tahun depan, sekali gus Selangor mungkin perlu berbelanja besar untuk menebus kontrak jika mahu mendapatkan khidmat pengendali berusia 53 tahun itu.

Hang Seo pula ketika ini bertindak sebagai penasihat kepada kelab Bac Ninh FC selepas meninggalkan pasukan kebangsaan Vietnam, tahun lalu.

Selangor juga dilihat perlu berbelanja besar jika mahukan Hang Seo selepas laporan sebelum ini mendakwa Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) membayar gaji pengendali dari Korea Selatan itu sebanyak AS$50,000 atau RM218,000 sebulan.

Sementara itu, Nafuzi yang pernah membawa Terengganu FC (TFC) muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada 2022 menjadi jurulatih tempatan yang berpotensi.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan pihaknya ketika ini terbuka dan akan menilai secara menyeluruh sama ada jurulatih tempatan atau import yang bersesuaian untuk Selangor.

“Benda ini baru berlaku, kita pun tak sangka Nidzam berhasrat nak berhenti. Jadi kelab pun tiada perancangan dan selepas sah semalam (Nidzam letak jawatan), baru kita mula langkah untuk melihat jurulatih baharu.

“Harapan dia dalam masa terdekat ini dapat beberapa calon untuk disenaraikan, setakat ini belum ada calon secara spesifik. Kita akan tengok keseluruhan termasuk jurulatih tempatan dan kita juga lihat dari Jepun, Korea dan Eropah.

“Mungkin Hodak juga kita akan tengok, secara dasarnya saya tak menidakkan. Hang Seo setakat ini kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita pun nak tengok beberapa calon lain dan kita tak boleh tengok satu atau dua calon sahaja.

sumber:- BH

“Pendapat saya, paling penting jurulatih itu mesti layak dan kedua adalah karakter. Kalau ada kelayakan yang bagus tapi karakter tak kena dengan sistem kita pun susah juga,” katanya kepada BH Sukan.