sukan

“Kami berada dalam `mood’ terbaik ” — Bidoglio

Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, tiga mata itu penting untuk menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Selangor FC selain mahu mempersiapkan diri bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Ulsan HD FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.

“Kami berada dalam `mood’ terbaik dan mahu mengekalkannya dan perlu waspada dengan ancaman NSFC walaupun mereka di tangga bawah liga tapi mereka sudah pasti mahu membuktikan sesuatu apabila bermain di laman mereka sendiri.

“Pada pandangan saya sejak bermulanya saingan liga, pemain menunjukkan peningkatan yang mendadak terutama peningkatan aspek intensiti permainan malah mereka beraksi dalam satu pasukan dan mereka tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Apapun, pengendali kelahiran Argentina itu tidak menolak akan melakukan penggiliran pemain bagi menghadapi skuad kendalian K Nanthakumar yang dibarisi pemain berkualiti terutama pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki dan pemain import dari Brazil Ricardo Pires.

Bidoglio juga tampak lega selepas Afiq Fazail kembali menjalani latihan akibat mengalami kecederaan namun masih belum ada kepastian sama ada pemain itu akan beraksi.

sumber:- BH

“Semua pemain berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan ini memberi peluang kepada saya untuk memilih siapa yang akan beraksi nanti,” kata Bidoglio.