sukan

Siapa Ruben Amorim sehingga jadi Rebutan Gergasi Eropah

Dua puluh tahun lalu Jose Mourinho. Kini giliran Ruben Amorim sedia berpindah dari Portugal ke Liga Perdana Inggeris dengan reputasi sebagai jurulatih superstar Eropah masa depan.

Amorim muncul jurulatih pilihan utama untuk mengambil alih di Manchester United susulan pemecatan Erik ten Hag. Kelabnya Sporting Lisbon sudah mengesahkan minat kelab Inggeris itu.

Amorim berusia 39 tahun, dua tahun lebih muda berbanding Mourinho apabila beliau meninggalkan FC Porto untuk mengambil alih Chelsea yang kemudiannya mendominasi bola sepak Inggeris.

Jurulatih lain turut hadir dari Portugal dengan reputasi besar, tetapi tidak semuanya berjaya. Andre Villas-Boas sebagai contoh, gagal memenuhi jangkaan selepas mengikut jejak langkah Mourinho dari Porto ke Chelsea pada tahun 2011.

Namun segala-galanya mengenai Amorim – yang turut dikaitkan dengan jawatan pengurus di Liverpool tahun ini – mencadangkan beliau mungkin sesuatu yang istimewa, seperti Mourinho menggelar dirinya sendiri pada 2004.

Tidak lama dulu pada 2017 apabila Amorim mengesahkan impiannya untuk menjadi seorang jurulatih, beliau memberitahu Tribuna Expresso: “Saya tidak tahu jika saya akan menjadi bagus atau tidak, tetapi itulah yang akan saya lakukan.”

Beliau bersara daripada permainan pada usia 32 tahun selepas kecederaan membelenggu karier cemerlangnya.

Amorim mencipta nama sebagai jurulatih di Sporting, tetapi beliau bermula sebagai pemain buat musuh ketat mereka, Benfica, kelab yang disokongnya sejak lahir.

“Saya boleh melihat diri saya melatih Benfica, atau salah satu kelab terbesar di dunia. Jelasnya hanya masa akan menentukannya dan anda memerlukan tuah juga,” katanya.

Amorim mula beraksi di Belenenses dari pinggir bandar Lisbon, Belem yang terkenal kerana kuih tart kastard.

Beliau bermain di bawah kendalian Jorge Jesus di sana, layak ke final Piala Portugal pada 2007.

Pada 2008, beliau menyertai Benfica dan setahun kemudian beliau kembali bersatu dengan Jesus. Amorim sering beraksi sebagai pertahanan kanan dalam pasukan yang menampilkan David Luiz dan Angel Di Maria yang merangkul kejuaraan.

Musim berikutnya, Benfica diatasi Porto kendalian Villas-Boas dan Amorim bergelut dengan kecederaan lutut.

Beliau memerlukan perpindahan secara pinjaman di Braga untuk menyemarakkan semula kariernya dan kembali ke Benfica bersama Jesus semula pada 2013-14.

Bermain secara kerap di bahagian tengah, Amorim menyerlah apabila mereka menang tiga trofi domestik dan kalah final Liga Europa menerusi penentuan penalti kepada Sevilla.

Karier permainannya tidak pernah meningkat selepas itu dan beliau menamatkan aksinya di Qatar.

sumber:- BH

Amorim, yang tampil bersama Portugal pada dua pusingan akhir Piala Dunia, memulakan karier kejurulatihannya pada 2018 pada usia hanya 33 tahun, di kelab Lisbon, Casa Pia dan kebangkitannya sejak itu amat mengagumkan. – AFP