PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) optimis akan dapat dana secukupnya dari kerajaan dalam usaha memastikan program pembangunan sukan tradisi tersebut berjalan dengan lancar dan tersusun.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan enggan berasa panik, biarpun sepak takraw tidak disebut secara spesifik ketika pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau percaya ada berita baik buat persatuan.
“Saya mengikuti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri. Meskipun tidak disebut secara khusus, tapi saya sangat yakin bahawa sukan sepak takraw akan diberikan geran yang lebih pada kali ini,” katanya.
Pada Belanjawan 2025, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta bagi memperhebatkan pembangunan sukan di negara ini.
Peruntukan itu merangkumi pelbagai program termasuk podium, latihan atlet dan Road to Gold (RTG), persiapan atlet, kerja menyelenggara dan geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan oleh persatuan sukan.
Begitupun, hanya bola sepak, kriket dan e-sukan mendapat peruntukan khas masing-masing RM15 juta, RM1 juta dan RM20 juta.
Mohd Sumali menjelaskan bahawa sepak takraw akan disenaraikan dalam program khas, namun enggan mendedahkan perincian lanjut.
“Pada saya, ia (tidak disebut) bukan isu yang penting kerana perhatian kepada sukan sepak takraw kali ini adalah lebih terarah kepada pembangunan.
“Saya menerima maklumat yang sepak takraw akan dimasukkan dalam program khas nanti dan memang ada berita gembira untuk kami. Jadi tunggu sajalah (pengumuman),” katanya.
sumber:- SH
PSM pada tahun ini menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara regu dan double lelaki.