sukan

FAM hormati keputusan perletakan jawapan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan Christopher Raj untuk meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan bawah 17 (B-17) tahun kebangsaan susulan kegagalan skuad itu layak ke Piala Asia B-17 2025, Ahad lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ia selepas mengambil kira rasa tanggungjawab oleh Exco FAM itu yang sudah memegang jawatan pengurus pasukan dalam dua kali kejohanan kelayakan Piala Asia B-17 selepas dilantik pada November 2021.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah meminta pengurus pasukan, ketua jurulatih dan pengarah teknikal badan induk itu untuk mengemukakan laporan secepat mungkin bagi melakukan bedah siasat.

“Benar beliau (Christopher) sudah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B-17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM sudah pun menerima surat peletakan jawatan itu pada Isnin (semalam).

“FAM menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau. Untuk pengetahuan juga, Sekretariat Agung FAM meminta pengurus pasukan (Christopher), ketua jurulatih B-17 dan B-20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal

FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin.

“Laporan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM yang dipengerusikan oleh Datuk S Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM untuk post mortem dan diperhalusi,” katanya.

Semalam, Christopher mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengurus pasukan B-17 negara dengan serta merta sebagai mengambil tanggungjawab kegagalan skuad itu dalam kempen kelayakan yang berlangsung di Laos.

Skuad kendalian Javier Jorda Ribera gagal melepasi kempen kelayakan apabila hanya meraih satu mata selepas terikat 2-2 dengan Laos di Stadium Nasional Lao KM 16, Vientiane, kelmarin.

sumber:- BH

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pertama, Rabu lalu menamatkan saingan Kumpulan H di kedudukan kedua.