Pasukan mana lagi yang boleh diharapkan untuk menyekat dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini?
Ia kerana Selangor yang dicanang sebagai harapan utama untuk menggugat kedudukan JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) juga tampak tidak mampu untuk mematahkan taring Harimau Selatan.
Gergasi Merah tewas semua dua pertembungan dengan Harimau Selatan musim ini termasuk yang terbaru tunduk 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Kekalahan itu dialami anak buah Nidzam Jamil selepas dua bulan mereka dibelasah skuad kendalian Hector Bidoglio 6-1 di pentas akhir Piala FA manakala aksi Piala Sumbangsih pada Mei lalu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma.
Keputusan dalam dua aksi perlawanan itu memberi gambaran sebenar bahawa kualiti yang dimiliki skuad Harimau Selatan masih jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Selangor.
Selangor yang menduduki tempat kedua dalam liga dan menjadi pencabar terdekat pun belum mampu untuk menyekat JDT, apatah lagi pasukan lain yang dilihat bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Terengganu FC (TFC) yang turut diletakkan sebagai antara calon untuk mencabar kejuaraan pada awal musim ini bagaimanapun ketika ini terjerumus dengan masalah prestasi.
Skuad Penyu berdepan kemarau kemenangan apabila hanya merekodkan empat seri dan dua kali tewas dalam enam aksi terakhir mereka dalam liga, sekali gus hanya mengumpul 18 mata selepas 13 perlawanan.
Sabah yang baru mendaki ke tangga ketiga selepas menewaskan Penang 4-0, Jumaat lalu juga mengalami prestasi tidak konsisten dan jauh ketinggalan 14 mata di belakang JDT.
sumber:- BH
Berdasarkan situasi semasa, boleh dikatakan tiada lagi pasukan yang mampu untuk menggugat nafsu besar JDT dan Harimau Selatan dijangka akan terus menguasai gelaran dalam Liga M musim ini.