Skuad Harimau Malaya akan menentang Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November ini sebelum terus terbang ke India bagi perlawanan persahabatan menentang negara itu dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), bulan depan.
Menerusi kenyataan hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan pasukan kendalian Pau Marti Vicente akan menghadapi perlawanan pertama menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT) di Bangkok pada 14 November sebelum menentang India pada 19 November depan.
“Laos bertindak sebagai tuan rumah kerana Stadium Nasional Lao KM16 di Vientiane, Laos, digunakan untuk perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Utara menentang Iran pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.
FAM memaklumkan Laos memilih Bangkok sebagai venue perlawanan bertemu Malaysia disebabkan mereka selepas itu akan menentang Thailand, juga di Bangkok untuk perlawanan kedua pada 17 November ini.
Bagaimanapun, badan induk sukan itu memaklumkan venue perlawanan menentang India akan diumumkan dalam masa terdekat.Berdasarkan ranking terkini Fifa, Malaysia kini menghuni tangga ke-133 manakala India dan Laos masing-masing berada di kedudukan ke-125 dan ke-187.
Kali terakhir Malaysia bertemu Laos ialah pada Piala AFF 2022 dengan kemenangan 5-0 di peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini dan menewaskan India 4-2 pada saingan Pestabola Merdeka 2023.
sumber:- HM
Kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa itu adalah tonik terbaik buat Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024 bermula Disember ini bersama juara bertahan, Thailand serta Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.