Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio akui belum memikirkan untuk ‘bermain bunga api’ selepas skuad kendaliannya mudah membenam Selangor FC 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu membolehkan juara bertahan itu melebarkan jurang mata dengan Selangor FC yang berada di tangga kedua menerusi 26 mata berbanding JDT 34 mata.
“Semua perlawanan awal sukar, jadi tiga mata adalah sangat penting. Namun, kami kena fokus satu demi satu perlawanan dan kami masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi.
“Pada pendapat saya, sejak dari awal musim hingga sekarang kami menunjukkan perkembangan dan semua pemain ada tanggungjawab ketika bertahan mahupun menyerang.
“Saya gembira dengan prestasi semua pemain, namun kami kena terus bekerja keras. Kami kena tingkatkan lagi kemahiran individu dan cara permainan berpasukan.
“Perkara itu mustahak kerana kami akan harungi musim yang panjang dan kami tahu selepas ini kami akan hadapi aksi penting,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aksi yang berlangsung sengit itu, menyaksikan JDT mendahului aksi seawal minit 29 hasil tandukan Romel Morales sebelum Bergson da Silva menggandakan kelebihan dengan dua gol masing-masing pada minit 44 dan 54 (sepakan penalti).
“Saya gembira dan berikan kemenangan ini buat penyokong yang hadir. Tiga mata ini penting untuk kejuaraan dan kami bermain baik pada babak pertama dengan menggerakkan bola di seluruh padang dan pada separuh masa kedua kami sedikit mengendurkan permainan untuk membawa pulang tiga mata.
sumber:- HM
“Kami hanya fokus kepada pasukan kami sahaja kerana saingan semakin sengit dalam pelbagai kejohanan yang disertai dan kami perlu pastikan pasukan sentiasa lakukan perubahan dari permainan ke permainan,” kata pengendali kelahiran Argentina itu.