sukan

Zii Jia peroleh hampir setengah Juta

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih menaruh harapan untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir dengan syarat mampu memberikan keputusan terbaik dalam baki beberapa kejohanan terakhir musim ini.

Menurut pemain ranking ketujuh dunia itu, ia adalah sasaran terkini yang ditetapkan selepas persembahan terakhir menyaksikan dia terkandas di suku akhir Terbuka Artik dua minggu lalu.

“Seperti saya katakan sebelum ini, buat masa sekarang saya hanya mahu menempatkan diri di Jelajah Dunia Akhir, jadi saya perlu memberikan persembahan terbaik di Jepun (Masters Jepun) dan Shenzhen (Masters China),” katanya selepas Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) semalam.

Ujar pemain berusia 26 tahun itu, dia merasakan perlu menampilkan persembahan dan mendapatkan keputusan terbaik menjelang dua kejohanan berkenaan selepas bergelut dengan kecederaan buku lali selepas Terbuka Artik.

“Itu adalah sasaran saya setakat ini,” katanya yang kali terakhir beraksi di kejohanan penutup musim itu pada 2021 di Bali.

Zii Jia yang sekarang ini berada di ranking kelima dalam perlumbaan melayakkan diri ke kejohanan berkenaan harus berada dalam kelompok lapan terbaik untuk mencapai sasaran beraksi di Hangzhou.

“Sudah tentu dalam tempoh setahun setengah bersama jurulatih Wong Tat Meng banyak perubahan positif dapat dilihat. Buat masa sekarang tiada sebarang perubahan (mengenai struktur kejurulatihan).

“Jika ada sebarang perubahan saya akan memberitahu anda,” katanya selepas ditanya mengenai kerjasamanya bersama jurulatih berpengalaman itu.

sumber:- HM

Dalam pada itu, Zii Jia mengucapkan terima kasih di atas Shakam yang diterimanya semalam iaitu sebanyak RM300,000 selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.